Sunday, November 28, 2010

Sejarah Rahim Tok Leman

    Abah dilahirkan pada 10hb Jun 1937 di Bukit Mertajam. Mendapat pendidikan peringkat Malay Level 5. kalau dikira pada ketika itu taraf pendidikan tersebut adalah agak tinggi tetapi disebabkan kemiskinan keluarga dan kerana kematian ayahnya pada usia muda, abah dan abang-abangnya dan adik-adiknya tidak dapat  melanjutkan pelajaran  ke peringkat yang  lebih tinggi. 
    Sebagaimana kebanyakan keluarga-keluarga lain pada ketika itu, yang hidup ala kadar, abah dan abang-abangnya terpaksa bekerja di usia mereka yang masih muda untuk membantu keluarga. 
    Pak Chag yang sulong lebih banyak melibatkan diri dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Dia sebenarnya seorang yang beridea bernas dalam melibatkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan, tetapi kerana takdir Allah yang menentukan, banyak perniagaan yang diusahakannya berjalan baik pada permulaannya namun ditinggalkan kepada orang lain. Dan dia memulakan pulak perniagaan lain. Seolah-olah sebagai peneroka yang membiarkan orang lain menghabiskan usaha yang dimulakannya.
    Abah pula bekerja dalam pelbagai bidang. Antaranya sebagai budak pejabat di Pejabat Daerah, kerani di sebuah kilang bijih besi dan akhir sekali sebagai seorang pelukis pelan di Majlis Perbandaran Pulau Pinang sehingga tahun 1984, apabila Abah berhenti kerja 24 jam tanpa cukup tempoh untuk dia menikmati pencen kerana ingin memajukan perniagaan makanan di hadapan JKR Bukit Mertajam kerana menyangka perniagaan tersebut yang begitu menguntungkan dapat bertahan lama. Namun takdir Allah sebaliknya kerana JKR Bukit Mertajam ke Seberang Jaya setahun setelah itu.